Misi Nasional 2006-2020
Misi Nasional yang dirangka merangkumi lima teras utama:
Teras Pertama: Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara. Melalui teras ini, Kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan nilai tambah sektor ekonomi sedia ada, serta mewujudkan aktiviti berasaskan pengetahuan dan peluang pekerjaan dalam bidang ICT, bioteknologi, nanoteknologi dan perkhidmatan. Di samping itu, Kerajaan akan turut mewujudkan persekitaran kondusif bagi sektor swasta menerajui pembangunan ekonomi negara.
Teras Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’. Kejayaan masa hadapan bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek tetapi juga keperibadian. Sejajar dengan teras ini, Kerajaan akan melaksanakan usaha penambahbaikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh, dari peringkat pra-sekolah hinggalah ke peringkat tinggi dan vokasional. Persekitaran yang menggalakkan akan diwujudkan untuk menjana lebih banyak usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D). Pada masa yang sama, penekanan akan diberi kepada usaha memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.
Teras Ketiga: Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif. Kerajaan mendokong matlamat untuk membasmi kemiskinan, menjana pembangunan lebih seimbang, serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati rakyat secara adil dan saksama.
Teras keempat: Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup. Kerajaan akan terus menyediakan keperluan asas seperti air, tenaga, perumahan, pengangkutan dan kemudahan lain, namun penekanan harus diberikan kepada usaha menangani isu-isu berhubung penyenggaraan, penaiktarafan dan keberkesanan penggunaan sumber.
Teras kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara. Kejayaan perancangan terletak pada keupayaan untuk melaksana. Untuk itu, Kerajaan komited menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam di semua peringkat. Di samping itu, Kerajaan juga akan menangani isu-isu berhubung rasuah dan integriti di dalam sektor awam dan swasta, mahupun di kalangan masyarakat umum.
No comments:
Post a Comment