Monday, February 16, 2009

DUA GAJAH BERJUANG..SIAPAKAH KANCILNYA?

15 Februari 2009


Gapena buat laporan polis
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAMsaiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) hari ini membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran kerana mendakwa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.
Laporan polis itu dibuat Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari ini.
Terdahulu, Gapena menganjurkan program Himpunan 152: Ratib Ratap Bangsa di Rumah Gapena bagi membincangkan kesan-kesan pelaksanaan PPSMI terhadap keluhuran Perlembagaan Negara.
PPSMI didakwa menyalahi Seksyen 17(1) Akta Pendidikan yang memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan.
Ia juga bertentangan dengan Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu untuk semua .
Ismail yang ditemui pemberita di IPD Brickfields berkata, laporan polis itu merupakan tanda bantahan pihaknya selagi Kementerian Pelajaran meneruskan PPSMI di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Menurutnya, selain melanggar Seksyen 17 (1) Akta Pendidikan, PPSMI bertentangan dengan Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan bahawa mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan Kementerian Pelajaran adalah bermaksud rasmi, iaitu mestilah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai pengantar.
"Berasaskan Perkara 152(1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17 (1) Akta Pendidikan, adalah wajib bagi semua mata pelajaran di semua sekolah diajar dalam bahasa Melayu.
"Pelaksanaan PPSMI ini jika diteruskan akan membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan pihaknya telah menerima laporan yang dibuat Gapena.
"Laporan itu telah diterima. Kita akan merujuk kes ini kepada IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut," katanya.




Laporan polis: Hisham bidas Gapena
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) kerana membuat satu laporan polis terhadap kementerian itu hari ini. Laporan polis Gapena itu adalah bagi membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Hishammuddin yang dihubungi oleh Utusan Malaysia mempersoalkan agenda Gapena kerana bertindak selepas enam tahun dasar itu diperkenalkan. Menurut beliau, tindakan badan gabungan penulis itu juga boleh menjejaskan kredibiliti mereka suatu hari nanti."Laporan polis? Enam tahun tak buat apa-apa, tiba-tiba buat demonstrasi anjur itu ini, saya tidak tahu apa sebenarnya agenda mereka.
"Alangkah sia-sia tindakan mereka ini jika keputusan yang dibuat kerajaan boleh memenuhi kehendak semua pihak dan akhirnya kredibiliti mereka sendiri terjejas," katanya.
Beliau mengulas tindakan Gapena membuat laporan polis terhadap kementeriannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini hari ini kerana mendakwa PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.
Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, PPSMI menyalahi Seksyen 17(1) Akta Pendidikan yang memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan.
Menurut Ismail, ia juga bertentangan dengan Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan berkaitan penggunaan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu untuk semua.
Turut memberi tekanan kepada Kementerian Pelajaran ialah Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) yang bertekad mengadakan perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada pertengahan bulan depan.



DUA GAJAH BERJUANG, SIAPAKAH KANCILNYA...

No comments: